Home Politik Kerajaan perlu tegas pertahan identiti negara di PBB – Berjasa

Kerajaan perlu tegas pertahan identiti negara di PBB – Berjasa

Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertegas dalam mempertahankan nilai dan identiti negara melalui kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Penerangan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad berkata, kerajaan tidak boleh tunduk kepada kefahaman dan budaya asing dalam mengimplementasikan segala konteks hak asasi manusia dalam pentadbiran negara.

Beliau mendakwa, rata-rata pejuang hak asasi manusia berlatarbelakangkan liberal di Malaysia seperti Datuk Ambiga Srenevasan, Kasthuri Patto dan kumpulan-kumpulan yang seangkatan dengannya sudah mula memainkan naratif yang salah menggambarkan seolah-olah Malaysia menindas golongan minoriti dan mendesak kerajaan menandatangani konvensyen antarabangsa yang bertentangan dengan norma budaya, agama dan identiti nasional.

“Berjasa bimbang desakan-desakan kumpulan ini dibimbangi akan mempengaruhi kerajaan dalam keputusan-keputusan berkaitan hak asasi manusia.

“Sehubungan dengan itu, Berjasa mendesak satu kenyataan tegas dikeluarkan oleh Putrajaya berhubung perkara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hazwan berkata, kerajaan perlu menyatakan yang Malaysia sentiasa melayan baik hak asasi manusia masyarakatnya bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tiang seri hubungan etnik untuk mencapai perpaduan nasional mengikut acuan sendiri.

Kerajaan juga katanya perlu menolak untuk menandatangani mana-mana resolusi atau konvensyen yang bertentangan dengan budaya, agama dan identiti Malaysia.

“Kerajaan mesti tegas mempertahankan identiti nasional negara yang menjadi identiti negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Menghalang dan menghentikan mana-mana kumpulan yang membawa naratif salah terhadap imej negara di peringkat antarabangsa…ini bagi memastikan nama baik dan maruah negara sentiasa terpelihara,” tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu berpendirian tegas dan konsisten dalam menegakkan kebenaran dan menolak kefahaman yang salah. – MalaysiaGazette