PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu pasport antarabangsa beliau dikembalikan sementara.
Permohonan Najib itu bagi membolehkannya pergi ke Singapura menemani anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan bersalin anak kedua di sebuah hospital di sana.
Ketika prosiding pagi ini, tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan permohonan itu memandangkan tiada sebarang bantahan dari pendakwaan selain telah mengemukakan alasan menusabah bagi permohonan tersebut.
Turut bersidang ialah Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Abu Bakar Jais.
“Pasport akan diserahkan kepada pemohon pada 20 Oktober untuk memperbarui dokumen perjalanan dan pasport itu perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 22 November depan,” katanya.
Najib dijangka terbang ke Singapura pada 3 November ini selepas pembentangan Belanjawan 2022.
Pada Khamis lepas, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah mengemukakan permohonan mendapatkan pasport beliau untuk sementara waktu kerana perlu berada di sisi anaknya.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu membenarkan permohonan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan sama.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan dokumen perjalanannya yang berada dalam simpanan mahkamah selaras dengan prosedur jaminan sejak 2018, dipulangkan hari ini dan dikembalikan pada 6 Disember ini.
Rosmah menyatakan dalam afidavitnya Nooryana kini menetap di Singapura selepas mendirikan rumahtangga dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev.
Menurut Rosmah, anak pertama beliau mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin anak sulung iaitu pengaliran darah abnormal ke dalam uri janin.
Jelasnya, Nooryana Najwa ketika itu turut mengalami kehilangan takat air ketuban secara mendadak yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawanya serta bayi dalam kandungan. -MalaysiaGazette