Home Akhbar Cina Orang ramai masih was-was untuk menaiki bas ekspres

Orang ramai masih was-was untuk menaiki bas ekspres

Orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung halaman pada hari pertama kebenaran merentas negeri ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Walaupun rentas negeri telah dibenarkan, tetapi pergerakan bas ekspres bukanlah serancak yang dijangkakan kerana masih ramai berasa sangsi untuk menggunakan bas.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pada ketika orang ramai bimbang mendapat jangkitan COVID-19 dalam bas yang sempit, pengusaha pula berdepan masalah kos untuk mengaktifkan semula operasi.

Beliau berkata, pengumuman mendadak untuk membenarkan rentas negeri menyebabkan pengusaha tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan persediaan.

“Kebanyakan bas telah tersadai lebih setahun dan kami memerlukan masa untuk menyelenggara, memeriksa dan memperbaharui cukai jalan dan insurans,” katanya kepada China Press.

Ujarnya, tempoh tanpa pendapatan yang panjang sebelum ini juga menyebabkan pengusaha menghadapi masalah kewangan untuk menyelenggara bas dan memperbaharui dokumen pengangkutan.

“Disebabkan isu kos yang besar, ada pengusaha tidak dapat memulihkan operasi mereka. Hanya bas di laluan lebih pendek telah mengaktifkan operasi pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga berasa waswas ketika mahu menaiki bak ekspres, menyebabkan permintaan tidak tinggi walaupun ada keperluannya.

“Pengusaha juga berpendapat permintaan yang ada mungkin kekal selama seminggu sahaja dan akan jatuh selepas itu.

“Disebabkan faktor ini juga, pengusaha bas ekspres tidak berani untuk memulihkan operasi pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette