KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi pembeli bersih pada minggu yang berakhir pada 15 Oktober lalu dengan aliran masuk berjumlah RM924.77 juta.
Ini merupakan minggu kedua belian bersih dibuat oleh pelabur asing.
Ketika pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur institusi tempatan menjual sebanyak RM154.74 juta,
Manakala pelabur runcit dan pelabur asing menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia, masing-masing sebanyak RM23.30 juta dan RM131.43 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari minggu lalu dengan belian terbesar direkodkan pada hari Jumaat dan paling kecil pada hari Khamis, masing-masing sebanyak RM303.22 juta dan RM79.99 juta.
Bagi pelabur runcuit, mereka adalah penjual bersih kebanyakan hari kecuali hari Isnin dan Selasa.
Firma penyelidikan ini berkata, jualan bersih terbesar oleh pelabur runcit pada hari Jumaat dan belian bersih terbesar pada hari Selasa, masing-masing RM82.15 juta dan RM29.16 juta pada minggu lalu.
Secara kumulatif, pelabur runcit merekodkan jualan bersih di bursa sebanyak RM78.64 juta.
Manakala, pelabur institusi pula merekodkan kumulatif jualan bersih sebanyak RM846.14 juta.
Menurut MIDF Research, institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu dengan jualan bersih terbesar pada hari Rabu iaitu RM245.86 juta, sementara aliran keluar bersih terkecil pada hari Khamis berjumlah RM47.13 juta.
Sejak awal 2021, secara kumulatifnya, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti iaitu sebanyak RM10.32 bilion.
Sementara pelabur institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing sebanyak RM7.56 bilion dan RM2.77 bilion.
Bagaimanapun, jualan bersih pelabur asing terus menurun kepada RM3.75 bilion berdasarkan akhir September 2021.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing 8.66%, 11.17% dan 4.97% masing-masing dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette