KUALA LUMPUR – Islam ialah ketetapan Allah manakala manusia dan hak asasinya mengikut sempadan kejadiannya tanpa melampaui batas yang ditetapkan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Allah menetapkan manusia dengan tugas untuk beribadat seperti para malaikat dan juga tugas untuk memakmurkan bumi dengan menguruskan makhluk lain dengan kemampuan akal dan ilmu.
“Ia termasuklah juga kemampuan jasad secara individu dan kolektif dengan bermasyarakat.
“Justeru, hak asasi manusia adalah berkonsepkan peranan dan hikmah mereka diciptakan oleh Allah,” katanya menerusi Minda Presiden Pas pada hantaran di Facebooknya hari ini.
Menerusi tulisannya yang bertajuk Islam dan Hak Asasi Manusia, Abdul Hadi berkata, masalah yang wujud adalah dalam kalangan manusia itu sendiri yang menjadi makhluk perosak yang meminda ketetapan Allah.
“Biarkan mereka itu wujud di negara-negara Barat walau bagaimanapun golongan ini juga mempunyai pengikutnya di Malaysia.
“Hari ini mereka mula menunjukkan protes terhadap kedudukan hak asasi di negara tempat kakinya berpijak.
“Silakanlah melompat ke bumi lain yang dipilih, janganlah membuat kerosakan di sini,” katanya lagi.
Jelas Abdul Hadi lagi, kedudukan hak asasi manusia hendaklah mengikut ketetapan tuhan yang meletakkan manusia dalam kalangan makhluk dengan sifat fitrah dan pada tempat yang telah ditentukan peranannya.
“Jika diubah dengan pendekatan yang terkeluar daripada sifat fitrahnya, laksana mengubah cara perjalanan tabii yang menjunamkan kepalanya ke bawah.
“Hak asasi manusia mengikut kefahaman adalah prinsip moral atau norma yang menggambarkan standard tingkah laku manusia tertentu, dan ia dilindungi secara berkala sebagai hak semula jadi dan undang-undang,” tulisnya lagi.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, hak asasi ‘yang haknya dimiliki oleh seseorang hanya kerana dirinya manusia’ dan hak asasi yang ‘wujud dalam semua manusia’ tanpa mengira umur, asal etnik, lokasi, bahasa, agama, etnik atau status lain.
“Hal ini berlaku di mana-mana dan pada setiap saat dalam erti kata secara universal dan mereka bersikap sama rata dalam erti kata sama untuk semua orang.
“Hak asasi manusia adalah berbentuk sejagat sehingga ia tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain.
“Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap insan manusia mempunyai maruah dan harga diri,” katanya.
Menerusi ruangan komen di Facebook Abdul Hadi, rata-rata menyebut, pesanan Presiden Pas itu merujuk kepada mereka yang antivaksin dan isu arak yang sedang hangat diperkatakan.-MalaysiaGazette