MASJID TANAH – UMNO masih belum memuktamadkan sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu pun Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dimuktamadkan menjelang hari penamatan calon PRN Melaka pada 8 November ini.
“Keputusan muktamad untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan mana-mana belum diputuskan secara rasminya.
“Keputusan muktamad ini kita akan umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik dan juga Majlis Tertinggi UMNO.
“Ia akan diikuti dengan oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan kita adakan Insya-Allah pada minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamatan calon PRN Melaka,” katanya pada sidang media di D’Aqua Melaka di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid melancarkan jentera pilihan raya UMNO Melaka bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh serta bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November. – MalaysiaGazette