KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyampaikan sumbangan Covid-19 kepada 378 penerima dari kalangan ahli peladang daerah Hulu Besut, Terengganu hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.
Zamri berkata, NAFAS telah memperuntukkan sebanyak RM4.79 juta bagi tahun ini untuk disalurkan kepada PPN dan PPK seluruh negara dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 32,120 orang penerima.
Daripada peruntukan itu, katanya, sebanyak RM3.2 juta akan disalurkan sebagai wakalah zakat di mana setiap PPN akan menerima sebanyak RM70,000 manakala setiap PPK akan menerima peruntukkan sebanyak RM8,000.
“Gerakan Pertubuhan Peladang merupakan satu gerakan yg besar. NAFAS di peringkat nasional dianggotai oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri, 279 buah Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir sejuta ahli-ahli peladang di seluruh negara.
“Justeru adalah menjadi tanggungjawab NAFAS untuk menjaga kebajikan semua komponen gerakan yang bernaung di bawah Keluarga Peladang ini.
“Keluarga Peladang ini pula akan bergerak sebagai subset yang akan melengkapi Keluarga Malaysia yang lebih besar. Oleh itu, saya berharap supaya keluarga Peladang ini bergerak akrab dan sentiasa menjaga antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan PKPD Covid-19 di PPK Gerai hari ini.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan berkenaan, beliau berkata, secara perinciannya Terengganu bakal menerima peruntukan sebanyak RM225,000 dengan agihan zakat sebanyak RM160,000 yang akan memberi manfaat kepada 1,600 orang asnaf di Terengganu.- MalaysiaGazette