Home Politik PRN Melaka: DAP tolak Norhizam jadi calon PH

PRN Melaka: DAP tolak Norhizam jadi calon PH

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kepimpinan DAP menolak Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pihaknya akan membawa keputusan itu kepada mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan berhubung PRN Melaka.

“Ada yang tanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP tolak sama sekali bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN negeri akan datang.

“Saya tidak mahu sebut (alasan), tidak perlu pergi pada asal usulnya semua pun tahu, DAP tetap tidak terima dia (Norhizam) sebagai calon dalam PRN negeri,” katanya seperti dlaporkan Astro Awani hari ini.

Norhizam selepas mengumukan penarikan balik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata dirinya semakin bermaruah akibat tindakan tersebut.

Bekas Exco kerajaan negeri Melaka itu sebelum ini mencanangkan dirinya sebagai ‘barua’ DAP.

Norhizam sebelum ini menang di kerusi DUN Pengkalan Batu atas tiket DAP lantas mengumumkan menjadi calon bebas dan memberikan sokongan kepada UMNO untuk membentuk gabungan kerajaan baru di negeri itu pada Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, DAP kekal menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.

“PH menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri dan saya harap tidak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini.

“Ini bukan hanya daripada DAP sahaja tetapi parti komponen yang lain kerana Adly menjalankan tugas yang baik,” kata Guan Eng lagi.

Tengahari semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan berlangsung pada 20 November depan dengan 8 November sebagai takikh penamaan calon bagi parti-parti yang bertanding.

Malah menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh hari pengundian awal pula ditetapkan pada 16 November depan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ini memang lawak, pengkhianat disambut jadi pahlawan – Chee Leong