KUALA LUMPUR – Adik perempuan kepada usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat meluahkan rasa kesal apabila ada sebuah portal media menggunakan gambarnya pada berita berkaitan abangnya.
Dikenali sebagai Mustika, dia berkongsi perasaan itu menerusi satu hantaran di laman Instagramnya.
Katanya, perbuatan Sajjad juga meninggalkan kesan buruk terhadap kehidupannya dan meminta dirinya tidak lagi dikaitkan dengan usahawan itu.
“Kesiannya netizen, dapat maklumat betul-betul tidak betul oleh media itu. Kalau mana yang tidak tahu, ini gambar Mustika (dirinya) dan bukanlah gambar Sajat. Ramai datang serang walhal aku tak ada kena mengena perbuatan Sajat.
“Dia tak pedulikan sesiapa, buat apa aku nak peduli setiap tindakan dia. Tapi, dugaan bukan kecil bila aku perempuan tanggung perbuatan dia selama ini,” katanya.
Selain itu jelasnya, tindakan Sajjad bukan sahaja meninggalkan nama buruk serta memberi reputasi busuk malah abangnya juga tidak pernah meminta maaf daripadanya.
“Dia tinggalkan nama buruk dan tanpa diberi pilihan aku kena tanggung? Anak, reputasi busuk dan dia tak pernah minta maaf pada aku.
Mustika turut mengaku kontroversi yang dicetuskan oleh abangnya itu meninggalkan kesan negatif terhadap anak-anaknya dan kehidupannya sebagai seorang ibu.
Kelmarin, Sajat mengesahkan dia telah berhijrah ke Australia dan telah ‘cerai’ talak tiga dengan Malaysia.
Sajat membuat kemunculan semula selepas kira-kira sebulan Polis Diraja Malaysia mengesahkan usahawan itu ditangkap oleh pihak imigresen Thailand, pada pukul 6 petang 8 September lalu. – MalaysiaGazette