Home Seni Hidup Babak rogol: Fauzi mohon maaf kepada Raja Farah dan suami

Babak rogol: Fauzi mohon maaf kepada Raja Farah dan suami

Foto Instagram Fauzi Nawawi

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fauzi Nawawi membuat permohonan maaf kepada pelakon, Raja Farah dan suami berhubung video tular mengenai tindakannya menceritakan babak rogol menerusi filem Anak Halal dalam sebuah program.

Fauzi menjelaskan program tersebut sebenarnya sudah lama disiarkan dan dia sendiri tidak sangka apabila baru sekarang ia kembali dihebohkan.

“Saya nak mohon maaf kepada semua yang terkesan dengan video berkenaan khususnya kepada Raja Farah, suami dan juga seluruh keluarganya.

“Saya pun tak tahu apa yang netizen marahkan sangat sampai maki saya, hantar mesej yang bukan-bukan. Alhamdulillah saya terima dengan lapang dada,” katanya dalam satu rakaman video.

Fauzi menjelaskan dalam program berkenaan dia diminta untuk bercerita tentang watak-watak lakonan yang pernah dilakonkannya.

Malah, pelakon berkenaan juga menyatakan ada meminta kepada pihak produksi agar dapat memotong bahagian yang sensitif semasa rakaman program tersebut.

“Habis sahaja rakaman saya dah minta pihak produksi untuk potong yang mana sensitif sebab masa kami bersembang antara lelaki ini, memang salah saya… Bila bersembang tak control, terlepas cakap dan terlepas nama Raja Farah.

“Sebenarnya, dorang tanya ini adalah pengalaman watak-watak yang saya pernah pegang. Ceritakan watak 13 hingga 14 tahun dulu… perompak, penjahat, perogol itu antara watak yang sinonim dengan saya,” katanya.

Jelasnya lagi, sebaik sahaja tamat rakaman dia tersedarada benda yang patut dipotong supaya tidak ditayangkan.

Bagaimapun, program berkenaan sudah ditayangkan sebanyak dua kali dan Fauzi tidak menyangka baru sekarang ia ditularkan.

“Apa pun saya mengaku salah saya, saya jahil dan memang saya tak baik tapi saya sedang memperbaiki diri saya untuk jadi lebih baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Raja Farah serta suaminya telah memberi respon mengenai program berkenaan dan mereka menganggap ia perkara yang sangat memalukan.

Malah, suami Raja Farah menyatakan perbuatan Fauzi itu tidak menjaga aib dan kehormatan wanita. – MalaysiaGazette