Home Nasional Banyak nama boleh bubuh, kenapa pilih Timah – Rani Kulup

Banyak nama boleh bubuh, kenapa pilih Timah – Rani Kulup

Abdul Rani Kulup Abdullah. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini mendesak kerajaan menutup segera operasi kilang arak tempatan berjenama Timah.

Pengerusinya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, penggunaan nama Timah pada label minuman keras tersebut didakwa menghina Puteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Fatimah Az-Zahra.

“Timah adalah perkataan daripada Fatimah iaitu nama puteri baginda Rasulullah SAW yang sangat dimulia dan dihormati seluruh umat Islam di dunia.

“Menamakan arak ini dengan nama Timah adalah biadap dan kurang ajar menghina, tidak boleh dimaafkan.

“Banyak nama lain boleh bubuh, kenapa nak bubuh nama Timah. Ini berniat jahat dan tidak sepatutnya berlaku di negara kita,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjuk keterangan polis selepas membuat laporan polis berkaitan salah pengunaan arak Timah di Ibu Pejabat Polis Sentul. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 OKTOBER 2021.

Sebelum itu, Abdul Rani Kulup bersama NGO Gabungan Badan Bukan Kerajaan membuat laporan polis di IPD Sentul berhubung penularan video di media sosial mengenai arah jenama Timah sejak beberapa hari lalu.

Arak jenama tempatan itu dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menutup operasi kilang arak terbabit kerana penggunaan nama Timah menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Kerajaan Malaysia, PDRM, JAKIM, KPDNHEP dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kena ambil tindakan tegas dengan menutup kilang arak yang tidak sensitif terhadap umat Islam di Malaysia,” katanya.

Pihaknya polis katanya perlu memanggil pemilik kilang arak terbabit dan semua pihak yang terlibat dengan pengeluaran minuman keras tempatan itu.

“Pihak polis kena tangkap pengurus kilang ini yang tidak sensitif kepada umat Islam kerana boleh menimbulkan kacau-bilau, ketegangan dan boleh memporak-perandakan rakyat dan negara yang aman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette