PYONGYANG – Korea Utara mengesahkan telah berjaya menguji peluru berpandu balistik kapal selam semalam.
Agensi berita negera itu, KCNA melaporkan peluru berpandu itu memiliki “teknologi panduan kawalan canggih”, yang menjadikannya lebih sukar untuk dijejaki.
Korea Utara aktif melakukan ujian peluru berpandu sejak kebelakangan ini, melancarkan senjata hipersonik dan jarak jauh.
Peluru berpandu balistik dianggap lebih mengancam daripada peluru berpandu jelajah kerana mereka dapat membawa muatan yang lebih kuat, memiliki jarak yang lebih panjang dan dapat terbang lebih pantas.
Media negara Korea Utara pada hari Rabu mengatakan peluru berpandu terbarunya mempunyai teknologi “kawalan dan bedil sasaran” baharu yang memungkinkannya bergerak secara lateral.
Ia juga mampu melakukan “pergerakan meluncur dan melompat”.
Dalam laporan itu, KCNA turut mengeluarkan gambar peluru berpandu itu.
Ia mengatakan peluru berpandu itu dilepaskan dari kapal selam yang sama semasa Pyongyang melancarkan peluru berpandu lama pada tahun 2016.
Peluru berpandu ini adalah salah satu daripada banyak senjata baharu yang dipamerkan semasa Pameran Pertahanan di Pyongyang minggu lalu.
Laporan tidak menyebut pemimpin Kim Jong-un, sekali gus menunjukkan beliau tidak menyertai ujian tersebut.
Pada hari Selasa, Ketua Staf Gabungan Korea Selatan mengatakan satu peluru berpandu telah dilancarkan dari pelabuhan Sinpo, di timur Korea Utara.
Lokasi itu biasanya menjadi tempat Pyongyang menaikkan kapal selamnya.
Ia mendarat di Laut Timur, juga dikenal sebagai Laut Jepun dan menempuh jarak sekitar 450 kilometer (km) atau 280 batu pada ketinggian maksimum 60km. – MalaysiaGazette