Home Nasional Kes positif Covid-19 Lembah Klang meningkat ekoran rentas negeri

Kes positif Covid-19 Lembah Klang meningkat ekoran rentas negeri

Hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Lembah Klang menerima peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi selepas kerajaan menarik semula pelaksanaan sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Lembah Klang menerima peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi selepas kerajaan menarik semula pelaksanaan sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, situasi yang serupa dilihat bagi Negeri Sarawak (garis oren) terutamanya bagi pesakit kategori 3, 4 & 5 selepas kebenaran rentas negeri diberikan. Data adalah bagi per 100,000 populasi.

“Begitu juga tren kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3, 4 & 5 ke hospital awam di Zon Selatan di mana Negeri Sembilan (garis kelabu) mula menunjukkan trend meningkat bermula ME40,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, angka Covid-19 di seluruh negara secara keseluruhannya mencatatkan trend penurunan.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 telah berkurangan sebanyak 17.9 peratus daripada 63,722 kes pada minggu epid ke-40 kepada 52,321 kes pada minggu epid ke-41.

“Purata kadar insiden bagi tempoh 7 hari juga mecatatkan penurunan sebanyak 20.9 peratus iaitu daripada 248 kes per 100,000 penduduk pada minggu epid ke-40 kepada 196 kes per 100,000 penduduk pada minggu epid ke-41.

“KKM mengunjurkan purata sebanyak 7,576 kes harian dicatatkan dalam lima hari akan datang (18 Oktober-22 Oktober),” katanya lagi.

Walaupun pengurangan jumlah kumulatif Covid-19 kes dicatatkan di peringkat nasional pada minggu epid ke-41, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan jumlah kes.

“Tiga negeri turut melaporkan peningkatan purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari pada minggu epid ke-41 berbanding minggu epid ke-40 iaitu Putrajaya 13.9 peratus, Negeri Sembilan 9.4 peratus dan Perlis 2.7 peratus. – MalaysiaGazette