KUALA LUMPUR – Dengan pengumuman jawatan Ketua Pemuda Putera dan Puteri MIC dimenangi tanpa bertanding semalam kini hanya tinggal jawatan Ketua Wanita menjadi rebutan pada minggu depan.
Jawatan tersebut akan menyaksikan pertembungan antara penyandang, J Usha Nandhini (menang tanpa bertanding) dan Datuk Mohana Muniandy.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024.
Beliau diumumkan menang tanpa bertanding oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran selepas proses pencalonan di ibu pejabat parti itu semalam.
Raven, 38, pernah menjawat jawatan Ketua Putera pada 2015 hingga 2018 bagi menggantikan R Thinalan yang tidak mempertahankan jawatan itu.
Vigneswaran turut mengumumkan A Kishva, 30, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera untuk menggantikan penyandangnya, S Padmarajah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Selain itu, R Puvaneswary, 34, diumumkan sebagai Ketua Puteri selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan CM Hemalatha yang juga tidak mempertahankan jawatan.
Pemilihan peringkat sayap parti itu dijadualkan pada 30 Oktober ini.
Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC akan berlangsung pada 19 November manakala pemilihan pada 26 November. -MalaysiaGazette
Mohana Muniandy ‘all out’ rebut jawatan Ketua Wanita MIC Kebangsaan