Home Nasional PPKSM tuntut pemberian tender tambahan selama setahun kepada pengusaha kantin

PPKSM tuntut pemberian tender tambahan selama setahun kepada pengusaha kantin

Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, menunjukkan memorendum bantahan mengenai isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto, AMIRUL SHAUFIQ 23 OKTOBER 2021.

BANGI – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menuntut supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan pelanjutan automatik selama setahun kepada para pengusaha kantin sekolah yang terjejas ketika musim pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden PPKSM, Salmah Othman berkata, tindakan pihak sekolah yang tidak memberikan semula tender bagi tambahan setahun kepada operator kantin merupakan satu tindakan yang tidak munasabah dan tidak wajar.

Menurutnya, ramai pengusaha kantin yang terpaksa menanggung kerugian sehingga terpaksa gulung tikar gara-gara tidak dapat menampung kos operasi sepanjang wabak Covid-19 melanda negara.

“Ketika ini terdapat kira-kira 10,200 pengusaha kantin di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bersama 51,000 orang pekerja yang mungkin akan terkesan sekiranya tender majikan mereka ditamatkan.

“Jadi amat lah tidak wajar bagi pihak sekolah untuk tidak memberi peluang kepada pengusaha kantin bagi meneruskan kontrak perjanjian mereka selepas sekian lama terpaksa menutup operasi.

“Kami juga menerima aduan daripada pengusaha kantin yang terpaksa menanggung hutang akibat pinjaman mereka bagi menyediakan modal dan menambah baik infrastruktur kantin, namun mereka ini hanya dapat berniaga tidak sampai tiga bulan bagi dua tahun kontrak perjanjian kantin,” katanya menerusi sidang media, di sini, hari ini.

Salmah berkata, ekoran pelbagai masalah yang dihadapi oleh para pengusaha kantin sekolah ketika ini, PPKSM akan menyerahkan satu memorandum kepada  Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin di pejabatnya di Putrajaya pada 28 Oktober ini.

Sementara itu, menurut Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md Desa, hampir 70 peratus sekolah di negara ini telah membuka tender perolehan kantin dengan keputusan mengenai perolehan tersebut akan diketahui pada November depan.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Siti Norma Desa bercakap pada sidang media berkenaan isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto, AMIRUL SHAUFIQ 23 OKTOBER 2021.

Justeru, kata Siti Normah, bilangan pengusaha sedia ada yang tidak berjaya menyambung kontrak mereka hanya akan diketahui selepas keputusan perolehan tersebut diumumkan.

“Kami masih belum tahu sama ada pengusaha kantin yang terdahulu diberikan pelanjutan atau ia akan diberikan kepada pengusaha yang baharu.

“Keputusan tender tersebut akan keluar pada bulan November, jadi kita akan dapat simpulkan berapa ramai pengusaha yang telah kehilangan tender dan berapa ramai menerima tender baharu itu selepas keputusan tersebut dikeluarkan,” katanya.

Siti Normah turut menyentuh berkaitan isu bangunan kantin sekolah yang semakin uzur akibat tidak beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kebanyakan bangunan kantin berada dalam keadaan tidak memuaskan setelah sekian lama terbiar dan tidak diselenggara.

“Mereka (pengusaha kantin) sudah kehabisan modal dan tidak lagi mampu untuk membuat pembaikan bangunan.

“Sebab itu kita mohon sangat kepada pihak sekolah dan KPM untuk memastikan bangunan dan fasiliti kantin di setiap sekolah di negara ini berada dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh pelajar serta murid.

“Ini kerana kerja membaik pulih kantin ini sudah lama diletakkan di atas bahu pengusaha kantin yang secara tidak langsung membebankan mereka terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Dalam masa sama, Siti Normah berkata, PPKSM turut memohon kepada KPM untuk menyediakan dan menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengoperasian kantin sekolah.

Kata Siti Normah, terdapat pelbagai SOP yang mengelirukan pihak pengusaha kantin selain membebankan mereka untuk menghantar makanan yang telah dibungkus ke setiap kelas.

“Kita mohon supaya dapat benarkan pelajar dan guru turun untuk membeli makanan mereka sendiri mengikut SOP di kantin.

“Untuk pengetahuan, kantin sekolah sudah lama tidak beroperasi jadi sudah tentu para pengusaha tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk memenuhi setiap permintaan.

“Sebab itu kita minta ringankan beban pengusaha ini, selaraskan SOP dan bukan terus bebankan mereka lebih-lebih ketika kekurangan pekerja. Tidak mustahil jika pekerja tidak cukup maka makanan yang disediakan mungkin kurang memuaskan atau kurang berkualiti dek kerana tidak cukup masa dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette