BUTTERWORTH – Seorang pelajar tingkatan lima ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di Flat B4, Taman Bagan di sini hari ini.
Remaja perempuan berusia 17 tahun dan tinggal di perumahan sama itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 6 petang tadi selepas jirannya mendapati remaja itu mengalami tumpah darah dan dalam kesakitan semasa berada di rumahnya.
Menurut sumber polis, remaja itu mengaku melahirkan bayi perempuan cukup sifat di dalam tandas rumahnya petang semalam, hasil hubungan seks bersama teman lelakinya yang juga berusia 17 tahun.
“Remaja itu mendakwa anaknya telah meninggal dunia ketika dilahirkan kerana tidak menangis atau mengeluarkan sebarang bunyi. Dia yang panik terus membalut bayi itu menggunakan kain lalu membuangnya ke dalam tong sampah berhampiran flat itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut sumber itu, bapa remaja terbabit tidak mengesyaki apa-apa kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sering berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Katanya, jiran remaja itu yang mendapati dia dalam keadaan kesakitan dan tumpah darah terus menghubungi ambulans serta pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dilakukan.
“Remaja itu sedang menerima rawatan di HSJ dan dia akan ditahan selepas rawatan selesai. Mayat anaknya turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, pihaknya sedang mengesan teman lelaki remaja terbabit yang juga rakan sekolahnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mayat bayi itu ditemukan pada 9.35 pagi tadi oleh seorang penduduk dan dua lelaki warganegara Myanmar yang sedang menjalankan kerja pembersihan serta mengutip sampah di kawasan flat tersebut. – Bernama