Home Nasional RMT RM2.50 sudah tidak relevan, PPKSM mahu peruntukan dinaikkan RM4

RMT RM2.50 sudah tidak relevan, PPKSM mahu peruntukan dinaikkan RM4

Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Salmah Othman bercakap pada sidang media berkenaan isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto, AMIRUL SHAUFIQ 23 OKTOBER 2021.

KAJANG – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyifatkan peruntukan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM2.50 sudah tidak lagi relevan pada masa kini berikutan harga barang mentah yang semakin tinggi.

Timbalan Presiden PPKSM, Salmah Othman berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta untuk melakukan penilaian semula terhadap kadar bantuan tersebut dengan cadangan kenaikan kepada RM4.

“Kadar RM2.50 untuk RMT sudah tidak sesuai pada masa sekarang lebih-lebih lagi harga barang mentah dan barang basah meningkat berkali-kali ganda.

“Kita boleh tengok sendiri berapa harga ayam segar di pasaran sekarang. Apa yang boleh kita dapat pada harga RM2.50 di luar sekolah?

“Sebab itu kita cadang naikkan kepada RM4 supaya pengusaha kantin pun tidak perlu tanggung kerugian manakala murid dan pelajar dapat menikmati makanan yang sihat, berkhasiat dan segar,” katanya menerusi satu sidang media di Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md Desa mengharapkan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini dapat memberi perhatian kepada golongan pengusaha kantin sekolah.

Siti Normah memaklumkan, berdasarkan pembentangan belanjawan negara sebelum ini, kebajikan pengusaha kantin ibarat dipinggirkan seolah-olah mereka hanya kumpulan minoriti di Malaysia.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Siti Norma Desa bercakap pada sidang media berkenaan isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto, AMIRUL SHAUFIQ 23 OKTOBER 2021.


“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kebajikan pengusaha kantin jarang-jarang ada dalam peruntukan belanjawan negara, memang nampak lah kami ini golongan minoriti dalam kalangan rakyat Malaysia kerana tiada peruntukan untuk kantin-kantin sekolah.

“Sebagai persatuan kami berharap pandang lah kami ini sebagai pengusaha kantin yang turut memberi sumbangan yang besar kepada negara serta anak bangsa.

“Ibu bapa hantar anak mereka ke sekolah dan tanggungjawab pengusaha kantin untuk memberikan makanan berkhasiat kepada anak-anak yang berada di sekolah dalam tempoh empat hingga lima jam sehari.

“Jadi saya rasa sumbangan kantin sekolah kepada anak bangsa sangat besar, jadi lihat lah kepentingan pengusaha kantin dengan memberi ruang dalam belanjawan negara. Mungkin dari segi bangunan kantin atau bantuan kepada para pengusaha untuk mereka meningkatkan lagi kualiti makanan dan mutu penyediaan kepada yang lebih baik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Siti Normah berkata, sebagai pengusaha kantin, mereka bukan semata-mata berniaga untuk mendapatkan keuntungan tetapi turut menetapkan standard dalam memberi perkhidmatan.

“Kita juga nak sediakan makanan yang terbaik sebab itu kita ada persatuan, persatuan nak bantu pengusaha kantin menyediakan perkhidmatan yang sangat berkualiti, makanan sihat seperti sekarang yang kita uar-uarkan, bukan macam zaman dulu yang jual makanan proses seperti nugets atau hot dog.

“Sekarang pengusaha kantin perlu lebih produktif iaitu menjual makanan sihat yang boleh bantu pelajar untuk lebih fokus di dalam kelas. Sekiranya kami mempunyai ruang di dalam belanjawan kali ini, semua yang dikatakan tadi boleh dilaksanakan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette