Home Nasional Tukang sapu kuasai asas 11 bahasa asing

Tukang sapu kuasai asas 11 bahasa asing

MERSING – Peluang bertemu pelancong dari pelbagai destinasi ternyata membuka jalan kepada tukang sapu SWM Environment Sdn. Bhd., Mohamad Azizi Bahuddin untuk mempelajari 11 bahasa.

Dia tidak pernah segan silu untuk memanfaatkan setiap pertemuannya dengan pelancong asing bagi menimba ilmu yang turut membantu kerjayanya biar pun hanya bergelar tukang sapu.

Ilmu yang diperolehi sejak tahun 2011 itu disimpan rapi dalam sebuah buku nota untuk dijadikan rujukan apabila perlu.

Mohamad Azizi ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, di peringkat permulaan dia hanya berkeinginan untuk belajar ayat-ayat ringkas dalam pelbagai bahasa.

“Tetapi lama kelamaan minat untuk tahu perkataan atau ayat lebih panjang menjadikan saya berani belajar dengan mereka,” katanya.

Menurut Mohamad Azizi, kebanyakan pelancong mengambil masa lebih sejam menunggu bot atau bas, waktu itu digunakan sebagai peluang untuk menyalin nota yang diajar oleh mereka dan disimpan sehingga sekarang ini.

“Walaupun sebutan yang saya sebut mungkin tidak begitu sempurna, saya tetap berasa bangga dengan diri saya sendiri,” katanya.

Antara bahasa asing yang boleh dituturkan secara asas Mohamad Azizi termasuk bahasa Jerman, Sepanyol, Itali, Jepun, China, Belanda, Norway, Denmark, Ukraine, Republik Czech dan Rusia.

“Saya juga selalu ditegur dan dirujuk oleh pelancong asing untuk mendapatkan maklumat pelancongan setempat sehingga membolehkan saya bertutur secara asas bahasa negara asing,” katanya.

Menurutnya, semangat untuk mempelajari bahasa asing selain bahasa Inggeris juga disebabkan ada kalangan pelancong yang lebih mesra jika disapa menggunakan bahasa mereka.

Katanya, dia mengambil masa dua tahun untuk mengasah kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa lain.

Sementara itu, Pengurus besar SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin menyifatkan  kebolehan Mohamad  Azizi berbahasa  asing  sebagai  kelebihan  luar  biasa  dan amat membanggakan.

“Pada kami di SWM dia merupakan  aset berharga  kepada industri  pelancongan  di  Mersing.

“Peranan  utama  mereka  adalah  memastikan  kebersihan  persekitaran  terjamin,  tetapi  turut menabur  bakti  untuk  membantu  para  pelancong  mendapatkan  maklumat  pelancongan  di Mersing.

“SWM Environment amat menghargai bakat dan kemahiran  dimiliki  oleh  setiap  pekerja  termasuk Mohamad  Azizi  yang  memberi  manfaat  kepada  orang  awam,” katanya.-MalaysiaGazette