Home Sukan Faiz Subri bakal kembali beraksi bersama Penang FC

Faiz Subri bakal kembali beraksi bersama Penang FC

Mohd Faiz Subri

BUTTERWORTH – Ibarat sireh pulang ke gagang, pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri bakal membuat kemunculan semula bersama Penang FC musim hadapan.

Mohd Faiz berkata proses rundingan untuk kembali bersama kelab bola sepak itu telah berlangsung selama empat bulan lepas dan beliau mungkin akan mula bermain dalam saingan Liga Super 2022.

“Saya baru menyerahkan surat penerimaan tawaran namun belum menandatangani apa-apa kontrak. Saya pun sudah lama bersama pasukan Pulau Pinang jadi jika diberi kesempatan, saya ingin mengakhiri karier dengan pasukan ini,” katanya selepas menhadiri Sukan Untuk Semua: Klinik Bola Sepak 2021 di sini hari ini.

Beliau telah menyerahkan surat penerimaan tawaran untuk bermain bersama skuad Harimau Kumbang kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, Soon Lip Chee.

Turut hadir dalam klinik sukan pada pagi ini para pemain pasukan Pulau Pinang iaitu Amer Azahar, Azmeer Aris, Sheriddin Boboev, Latiff Suhaimi,Samuel Somerville dan Bryan See Tian Kiat.

Mohd Faiz mula mendapat perhatian dunia menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter yang melencong masuk ke gawang pasukan lawan ketika menentang Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.

Faiz berjaya memenangi anugerah tersebut selepas berjaya meraih 60 peratus undian dalam talian di laman sesawang FIFA yang mengalahkan Marlone dari Brazil dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Mohd Faiz pernah beraksi selama empat musim bersama skuad Harimau Kumbang sehingga tahun 2018 kemudiannya menyertai Northern Lion pada 2020 dan Kuala Kangsar FC pada tahun 2021 dalam saingan Liga M3 namun perlawanan tersebut telah dibatalkan akibat penularan COVID-19.

Sebelum menyertai Pulau Pinang, Mohd Faiz pernah beraksi bersama pasukan Perlis FA (2011), T-Team (2012), Kelantan (2013) dan Terengganu FC pada tahun 2014.- BERNAMA