Home Utama Larangan aktiviti politik, PN guna SISMEP dekati pengundi

Larangan aktiviti politik, PN guna SISMEP dekati pengundi

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas membuat lawatan ke Program Latihan Gerak Kerja Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP) PRN Melaka di A’Famosa Resort, Alor Gajah. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2021.

ALOR GAJAH – Disebabkan larangan mengadakan aktiviti perhimpunan, majlis sosial dan pelancaran jentera pilihan raya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan sistem binaan sendiri bagi mendekati pengundi sepanjang tempoh kempen kelak.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali berkata, Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP) yang dibangunkan akan digunakan sepenuhnya oleh pihaknya.

“SISMEP ini merupakan Sistem Menang Pilihan Raya yang pernah saya perkenalkan dalam PRU-14 lalu dan sekarang kita telah tambah baik menggunakan teknologi terkini dengan data-data sedia ada khususnya data daftar pemilih dan juga data lain yang kita gabungkan.

“Sekiranya SOP itu menetapkan tidak ada ziarah rumah ke rumah, tiada ada ceramah umum maka SISMEP boleh bertemu dengan pengundi menggunakan tekonologi ini untuk menyampaikan maklumat tepat untuk dimanfaatkan kepada pengundi dalam PRN Melaka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menghadiri program latihan Gerak Kerja Sistem Menang Pilihan Raya (SISMEP) di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan M(KKM) bahawa sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuklah penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya. Larangan ini akan mula berkuatkuasa pada 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, larangan itu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes secara mendadak akibat aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, PN sudah bersedia untuk menghadapi pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu itu dan akan akur.

“Kita akan lihat perincian SOP yang baharu, saya percaya akan dibentangkan biasanya dalam Majlis Keselamatan Negara di mana KKM akan memberikan input dan pandangan mereka tentang situasi semasa.

“Memang KKM akan juga membentangkan penilaian risiko sekiranya sekiranya dibenarkan gerak kerja PRN dan MKN akan ambil ketetapan tentang apakah pendekatan yang terbaik.

“Sudah tentu sebagai sebuah kerajaan kita bertanggungjawab melindungi dan menjaga kesihatan rakyat sebagia keutamaan kita tetapi ini sesuatu keadaan yang kita tidak mahu adakan PRN namun setelah berlaku PRN kita terpaksa berdepan maka kita bersedia untuk menggunakan SOP yang baharu untuk mendekati pengundi,” katanya lagi.

Khairy hari ini berkata, KKM mengenal pasti antara punca peningkatan atau penyumbang kes serta kluster jangkitan Covid-19 berkait rapat dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Menurut beliau, faktor itu dikesan berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 oleh KKM.

Malah larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah- Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Larangan itu berkuatkuasa pada 25 Oktober 2021 hingga 27 November 2021.

Untuk rekod, ini adalah pelaksanaan kali pertama seumpama itu diambil kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyebabkan gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini.

PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November sementara tmepoh berkempen adlaah 12 hari. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Aktiviti perhimpunan berkaitan PRN Melaka dilarang mulai esok