JOHOR BAHRU – Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan cadangan peruntukan kit ujian air liur bagi pengesanan Covid-19 kepada mangsa banjir sebelum memasuki Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya yang juga sebagai urus setia Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan melakukan semak dan imbang dalam proses pelaksanaan terbabit.
“Dalam persediaan menghadapi bencana kebiasaannya berlaku pada penghujung tahun, kementerian melihat apakah implikasi kewangan untuk menyediakan secukup mungkin (peruntukan) kerana tidak mahu di kawasan pusat pemindahan banjir, wujudnya kluster baharu disebabkan pemindahan berlaku.
“Kementerian akan mengawal selain memastikan tidak hanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terbabit malah kementerian lain yang berkaitan.
“Berkaitan peruntukan sudah pasti kita akan memastikan perkara ini tidak akan mencetuskan satu kluster baharu dan apa sahaja cadangan yang diberikan agensi-agensi, kita akan pertimbangkan,” katanya pada sidang media ketika Siri Jelajah Bajet 2022 di Taman Ekoperniagaan di sini hari ini.
Shahar berkata, langkah itu penting ekoranĀ kebanyakan negeri sudah beralih fasa berikutnya.
“Apabila melihat petunjuk ekonomi negara pun berada dalam keadaan positif, kita tidak mahu penularan pandemik Covid-19 ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, NADMA mencadangkan pengesanan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur kepada mangsa banjir sebelum memasuki PPS selain ujian turut dijalankan seminggu sekali kepada mangsa banjir.- MalaysiaGazette