Home Nasional Dewan Rakyat: Masih ada Ahli Parlimen belum buat ujian RT-PCR

Dewan Rakyat: Masih ada Ahli Parlimen belum buat ujian RT-PCR

Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Terdapat beberapa orang Ahli Parlimen yang masih belum menjalani ujian Real-TimeĀ Reverse TranscriptionPolymerase Chain Reaction (RT-PCR) bagi menghadiri persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang bermula hari ini.

Berikutan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meminta Ahli Parlimen yang belum menjalani ujian segera melakukannya agar dapat hadir persidangan Dewan Rakyat.

“Untuk makluman terdapat Ahli-Ahli Berhormat masih belum buat ujian RT-PCR untuk menghadiri sidang, untuk itu tolong Ahli-Ahli Berhormat buat ujian sebelum dibenarkan menghadiri.

“Ahli-Ahli Berhormat juga perlu buat ujian RTK Saliva (ujian RTK air liur) secara berkala,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rashid memaklumkan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah diagihkan kepada semua Ahli Parlimen.

“Yang Berhormat boleh membuka pelitup muka ketika bercakap dan memakai semula selepas itu selain perlu menjaga penjarakan fizikal dan melaksanakan ujian air liur berkala,” katanya.

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang bermula hari ini akan membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan ordinan-ordinan darurat. – MalaysiaGazette