JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu melihat sukan e-Sports pada hari ini dengan lebih holistik supaya bakat anak-anak Keluarga Malaysia yang ada dapat ditonjolkan ke persada dunia.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, sudah tiba waktunya kerajaan memikirkan soal pembangunan sukan berkenaan bagi memberi ruang untuk anak muda mengembangkan bakat dan idea mereka selaras dengan kemajuan teknologi masa kini.
“Semoga Bajet 2022 yang akan diumumkan oleh pihak kerajaan akan datang perlu memikirkan tentang pembangunan sukan e-Sports Malaysia supaya player gamers kita terus gah di persada Sukan e-Sports dunia.
“Pada era sebelum kemerdekaan, sukan seperti badminton, bola sepak dan olahraga banyak mengharumkan nama negara dengan pencapaian memberangsangkan.
“Kini, tumpuan terarah pula sukan permotoran, X-Games dan terbaharu, e-Sports. Zaman sekarang gamers golongan anak muda jadikan ia sebagai pendapatan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Malah, agak menarik, kata Fauzi, tatkala sukan tradisional lain terjejas kerana wabak Covid-19 kebanyakan negara, e-Sports masih kekal aktif menghiburkan peminat sukan serata dunia.
“Kita tidak boleh lagi bercakap permainan game ini sia-sia kerana ramai belia kita yang bijak gunakan medium e-Sports menjadi alternatif untuk menjana ekonomi mereka,”katanya.
Tambah beliau, tanpa disedari e-Sports boleh dijadikan satu kerjaya sebagai pemain profesional dengan pendapatan lumayan daripada aktiviti dalam talian atau streaming melalui laman sosial seperti Facebook.
Orang ramai termasuk ibu bapa perlu melihat e-Sports sebagai satu bidang yang boleh mengharumkan nama negara.
Bagaimanapun, belia juga dinasihatkan supaya memanfaatkan teknologi dengan cara yang betul.
Ini terbukti beberapa kumpulan profesional di Malaysia yang telah mengharumkan nama negara seperti Yoodo Gank,AROV E-sport dan Genexus,”katanya.- MalaysiaGazette