Home Ekonomi Kekosongan jawatan meningkat pada suku kedua 2021

Kekosongan jawatan meningkat pada suku kedua 2021

KUALA LUMPUR – Jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan meningkat untuk empat suku tahunan berturut-turut kepada 90,502 pada suku kedua 2021 daripada 90,218 suku sebelumnya dan 19,169 pada suku keempat 2020.

Peningkatan ini melangkaui jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan pada suku keempat 2019 (kekosongan), sebelum bermulanya pandemik Covid-19 di Malaysia.

Jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian yang dipaparkan pada bulan April, Mei dan Jun masing-masing adalah 33,877, 28,242 dan 28,383.

Seterusnya mengenai kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku kedua 2021, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, didapati sebilangan besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (50.8%), diikuti oleh pekerja kategori juruteknik dan profesional bersekutu (19.2%) dan pengurus (18.4%).

Lima pekerjaan paling popular yang diiklankan oleh majikan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit dan pembangun perisian.

Dari perspektif sektor ekonomi pula, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja iaitu 18.5 peratus berbanding di tempat kedua pada suku pertama 2021 (9.5 peratus).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, dapatan ini daripada Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku kedua 2021.

Kedua-dua Analisis Data Raya ini dikeluarkan secara suku tahunan dan menyediakan statistik yang disusun berdasarkan kekosongan jawatan yang diiklankan secara dalam talian oleh pelbagai syarikat yang meliputi pelbagai industri.

Manakala, empat lagi sektor yang termasuk dalam senarai lima sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi bagi suku kedua 2021 adalah sektor pembuatan (18.1 peratus), perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal (17.9 peratus), aktiviti kewangan dan insurans/takaful (8.0 peratus) dan aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman (3.5 peratus).

Meneliti kepada kekosongan pekerjaan yang diiklankan mengikut negeri pada suku kedua 2021, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi iaitu 46.6 peratus, diikuti Selangor (19.6 peratus), Johor (7.1 peratus), Pulau Pinang (6.2 peratus) dan Perak (1.4 peratus).

Mohd Uzir merumuskan, peningkatan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku kedua 2021, memberi gambaran ekonomi negara berada di landasan yang betul ke arah pemulihan pada suku tahun akan datang sekiranya Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan berjaya mengurangkan impak pandemik dan seterusnya memulihkan ekonomi negara.

Para pengguna terutamanya pencari kerja boleh mengakses maklumat terkini penawaran pekerjaan secara suku tahunan di www.dosm.gov.my/bda-jmi dan myjobprofile.dosm.gov.my – MalaysiaGazette