KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirainya hari ini dengan tumpuan antaranya membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan ordinan-ordinan darurat.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Perdana Menteri akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Selain itu mesyuarat kali ini juga bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, esok (26 Okt).
Pada 18 Okt, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Wan Junaidi untuk mentakrifkan semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks MA63.
Turut menjadi tumpuan pada mesyuarat kali ini ialah Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 oleh Menteri Kewangan pada Jumaat, 29 Okt, pukul 4 petang.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember. – MalaysiaGazette