KUANTAN – Kerajaan Pahang telah meluluskan permohonan penubuhan Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (MPO Pahang) bagi memperkasakan kedudukan golongan tersebut dalam komuniti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan tahunan sebanyak RM150,000 kepada majlis tersebut pada 15 September lalu.
“Peruntukan tahunan itu bagi melaksanakan mesyuarat dan program yang bersesuaian untuk pembangunan OKU di Pahang.
“MPO berperanan untuk menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor perkara berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, dan rehabilitasi kepada kelompok ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Pahang, di sini, semalam.
Hadir pada majlis Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang, Zukhairi Zainol Abidin.
Selain itu, kewujudan MPO Pahang turut melibatkan aktiviti advokasi, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat orang istimewa di Pahang.
MPO Pahang dinaungi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan dipengerusikan, Shahaniza yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul.
Menurut Shahaniza, matlamat penubuhan majlis itu selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya, pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya dan Majlis Kebangsaan bagi OKU.
“Bagi mencapai matlamat ini, usaha kolektif perlu dibuat dengan menggunakan multi-sectoral dan multicollaboration dengan agensi yang berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, Shahaniza berkata, pihaknya mencadangkan Hari Kerjaya OKU dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Objektif carier fair kepada golongan tersebut selain memberi penerangan kepada majikan agar memberi ruang penglibatan OKU dalam dunia pekerjaan” jelasnya. – MalaysiaGazette