Home Ekonomi Pelabur asing beli RM587.61 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM587.61 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan belian buat minggu ketiga berturut-turut yang berakhir pada 22 Oktober dengan aliran masuk sebanyak RM587.61 juta.

Ketika pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur institusi dan runcit adalah penjual bersih, masing-masing sebanyak RM215.79 juta dan RM22.20 juta.

Manakala pelabur asing menjadi pembeli bersih sebanyak RM237.99 juta.

Kecuali hari Selasa yang menjadi cuti umum di Malaysia, pelabur asing adalah pembeli bersih ekuiti tempatan setiap hari sepanjang minggu lalu.

MIDF Research berkata, aliran masuk terbesar direkodkan pada hari Rabu dengan jumlah RM237.99 juta dan aliran terkecil sebanyak RM16.78 juta pada hari Khamis.

Bagi pelabur runcit, mereka adalah penjual bersih separuh daripada empat hari seminggu kecuali pada hari Rabu dan Khamis dengan jualan bersih terbesar dicatatkan pada hari Isnin dan belian bersih terbesar pada Khamis masing-masing sebanyak RM22.20 juta dan RM95.39 juta.

Secara kumulatif, untuk minggu ini, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM74.83 juta di Bursa Malaysia.

Sementara itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul sebanyak RM662.44 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam seminggu dengan penjualan bersih terbesar pada hari Rabu sebanyak RM243.95 juta, sementara aliran keluar bersih terkecil pada hari Jumaat berjumlah RM90.53 juta.

Menurutnya, setakat ini, secara kumulatif, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan jumlah RM10.40 bilion.

Manakala institusi tempatan dan pelabur asing pula menjadi penjual bersih masing-masing sebanyak RM8.22 bilion dan RM2.18 bilion.

Bagaimanapun, trend jualan bersih pelabur asing terus menurun – berjumlah RM3.75 bilion setakat akhir September 2021.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -19,00%, -21,96% dan 26,34% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette