JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, ia berdasarkan rekod kes positif Covid-19 yang dicatatkan telah menunjukkan penurunan dan pengurangan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital di negeri ini sehingga bawah 25 peratus.
Justeru, beliau berharap masyarakat akan terus memainkan peranan untuk memastikan kes Covid-19 di Johor terus berkurangan ketika melangkah ke Fasa 4 PPN hari ini.
Bagi memastikan kes positif Covid-19 terus menurun, Operasi Mega Penguatkuasaan SOP Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 akan terus dijalankan bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Operasi yang dijalankan ini untuk memastikan pekerja premis makanan mematuhi SOP yang dikenakan selain dengan mewajibkan pelanggan dine-in menunjukkan sijil digital vaksinasi yang lengkap.
“Setakat ini, tidak ada kompaun yang dikeluarkan terhadap mereka. Pendekatan yang kita ambil ialah dengan memberi ingatan dan tidak secara drastik untuk memberi kompaun.
“Mungkin mereka masih belum faham perubahan yang berlaku (peralihan Fasa 4 PPN). Kita akan membuat operasi pemantuhan sekali lagi, jika masih tidak berubah maka kita tidak akan berkompromi lagi,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Penguatkuasaan SOP Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di Setia Tropika di sini hari ini.
Dr. Aman berkata, operasi mega dijalankan di semua daerah di negeri ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bagi memantau tahap pematuhan SOP masyarakat.
Katanya, peralihan ke Fasa 4 PPN menyebabkan pembukaan semua sektor ekonomi dan kapasiti bekerja ditingkatkan kepada 100 peratus bagi sektor-sektor seperti sektor pembuatan dan pembinaan.
Aktiviti dine in pula, katanya, telah dibenarkan beroperasi mulai Fasa 3 Pelan PPN dan bilangannya semakin bertambah.
“Sehingga Khamis lalu, sebanyak 6,796 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di negeri Johor dengan nilai kutipan lebih RM4.38 juta.
“Saya berharap masyarakat sedar kepentingan pematuhan SOP untuk memastikan tidak ada lagi penularan pandemik berlaku apabila Johor memasuki Fasa 4 PPN sekali gus menjadikan negeri ini bebas dari Covid-19,” ujarnya.- MalaysiaGazette