Home Nasional Wanita menyamar peminta sedekah sebelum samun sami

Wanita menyamar peminta sedekah sebelum samun sami

Tiga suspek termasuk wanita tempatan yang menyamar meminta sedekah makanan dan menyamun mangsa ditumpaskan polis Sentul.Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang wanita menyamar sebagai peminta sedekah meminta makanan kepada seorang sami kuil sebelum menyamunnya di kawasan kuil Sri Maha Karumariamman, Jalan Segambut baru-baru ini.

Suspek juga telah melarikan beberapa barangan berharga di kuil berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, pada 23 Oktober lalu lebih kurang pukul 10 malam, mangsa seorang lelaki warganegara India ketika berada di dalam bilik di kuil berkenaan didatangi seorang wanita meminta makanan.

“Setelah mangsa membuka pintu, masuk dua lelaki  memukul mangsa dengan kayu di kepala, badan dan muka kemudian telah membawa lari sebentuk cincin emas, pasport, wang tunai RM500 dan dua telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Eng Lai, mangsa bekerja sebagai sami selama dua tahun dan digaji oleh persatuan pengurusan kuil tersebut  mempunyai permit kerja dan pasport yang sah.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu didalangi oleh seorang wanita yang  menyamar sebagai orang susah meminta makanan.

Menurutnya, semasa urusan mendapatkan bekalan makanan dilakukan, dua orang suspek yang berada di luar kawasan kuil akan masuk dan memukul mangsa sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa.

Justeru katanya, susulan daripada kejadian itu, kira-kira pukul 11 malam semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Jinjang telah menahan suspek wanita dan dua lelaki berusia 16 tahun hingga 35 tahun itu serta merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM100 serta pakaian yang digunakan semasa kejadian.

“Salah seorang suspek juga disiasat di bawah Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai beberapa tatu di badan disyaki ahli kumpulan pertubuhan yang tidak sah.

“Dua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau dan dua rekod masih dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang lagi rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Ketiga-tiga suspek kini sedang ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 29 Oktober ini di IPD Sentul untuk membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette