PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis terhadap dakwaan salah laku rusuah yang didedahkan menerusi aplikasi Telegram.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dakwaan pengguna Telegram bernama ‘Edisi Siasat” merupakan perkara baharu yang didengarinya.
“Saya baru dengar perkara ini. Saya tidak tahu pun perkara ini. Bagaimanapun, segala kesalahan, sesiapa saja kalau ada laporan polis, ada siasatan, kita akan berikan kerjasama.
“Buat masa ini, saya tidak tahu,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesahihan dakwaan-dakwaan yang dibuat menerusi medium tersebut. -MalaysiaGazette