KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diketahui Khamis ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
“Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat pada Khamis dan kita hanya perlu tunggu keputusan akhir daripada kepimpinan parti,” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai kerjasama UMNO-Pas pada PRN Melaka kelak.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, ahli UMNO juga masih berharap kerjasama yang terjalin sebelum ini di antara kedua-dua parti tersebut dapat terus dikekalkan serta dipelihara.
Katanya, perkara tersebut diketahui selepas mengadakan pertemuan di peringkat akar umbi.
“Kebanyakan ahli parti juga masih berharap kerjasaman MN dapat dipelihara dan mereka turut menjangkakan UMNO-Pas boleh terus bersama-sama, namun ia semua bergantung kepada Pas,” katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Pada 13 Oktober lalu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kerjasama dalam MN berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka.
“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagai mana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.
“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette