KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya dilaporkan tidak akan bermain di atas padang rumput tiruan sepanjang saingan Piala Suzuki AFF 2020 berlangsung pada Disember 2021 di Singapura.
Menurut laporan dua media Vietnam, The Thao 247 dan Bongda plus, ini kerana Stadium Nasional Singapura dan Stadium Bishan dipilih sebagai venue rasmi semua perlawanan kumpulan A dan B.
Stadium Bishan pula merupakan venue untuk perlawanan kumpulan B membabitkan pasukan Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.
“Stadium Nasional telah menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dan kualitinya sangat baik. Manakala, Stadium Bishan kemungkinan akan mengalami proses penukaran rumputnya,” tulis Bongda Plus.
Mengambil kira situasi semasa wabak Covid-19, semua perlawanan Piala Suzuki AFF 2020 ini dijalankan di venue berpusat, berbeza dengan format terdahulu pada edisi 2018 bagi mengurangkan tempoh perjalanan antara negara.
Singapura telah dipilih sebagai tuan rumah kerana memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh AFF dari segi sokongan kerajaan, kewangan, keselamatan, fasiliti perubatan, penyediaan penginapan dan kemudahan sukan.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir dan seterusnya berentap di perlawanan akhir untuk merebut gelaran ‘Raja Asia Tenggara’. – MalaysiaGazette