Home Nasional RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 diluluskan

RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 diluluskan

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang akan memperkasa aspek penguatkuasaan undang-undang dan pemuliharaan hidupan liar di negara ini.

RUU yang dinantikan oleh sebahagian besar ahli Parlimen sejak sekian lama diluluskan tanpa pindaan selepas 20 daripada mereka berbahas mengenainya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, RUU berkenaan lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.

“Penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sedia ada tidak dapat menurunkan kadar jenayah hidupan liar yang akan menyebabkan kepupusan hidupan liar.

“Pendekatan ini bukan saja bertujuan melindungi hidupan liar, malah turut melindungi habitatnya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Memperincikan pindaan ke atas Akta 716 itu, Takiyuddin berkata, ia menetapkan denda maksimum bagi kesalahan berat seperti pemburuan haram hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti harimau belang, harimau kumbang, harimau dahan, kambing gurun dan seladang ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Selain itu, jelas beliau, hukuman penjara maksimum ditingkatkan daripada 10 kepada 15 tahun sebagai hukuman bersifat mencegah dan memberikan pengajaran yang sewajarnya kepada pelaku jenayah.

“Pada masa sama, Seksyen 88B turut diperkenalkan bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan kepada individu yang mengiklan atau mempromosi hidupan liar bagi maksud menjual atau menawarkan perolehan hidupan liar secara haram.

“Pada masa ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara tidak dapat mengawal aktiviti mempromosikan hidupan liar dalam talian melalui laman web, media sosial atau medium interaktif yang lain berikutan tiada peruntukan yang melarang aktiviti berkenaan,” katanya.

Takiyuddin memberitahu, pindaan kepada Seksyen 48 memperuntukkan kutipan fi masuk dan aktiviti yang dijalankan di dalam rizab hidupan liar atau kawasan perlindungan hidupan liar, yang tidak dikenakan ketika ini.

Ujar beliau, secara keseluruhannya, RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 membabitkan pindaan kepada 63 peruntukan, pemansuhan tujuh peruntukan dan pengenalan lima peruntukan baharu, yang merangkumi tujuh skop utama.

Ia adalah pindaan pertama ke atas Akta 716 yang mula dikuatkuasakan pada 28 Disember 2010, menggantikan Akta Hidupan Liar 1972 (Akta 76) yang sudah dimansuhkan. – MalaysiaGazette