Home Ekonomi RUU PIDM 2021 tingkatkan keberkesanan tadbir urus korporat

RUU PIDM 2021 tingkatkan keberkesanan tadbir urus korporat

Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) (Pindaan) 2021 akan meningkatkan keberkesanan tadbir urus korporat dalam melaksanakan fungsi dan kewajipannya untuk  kestabilan sistem kewangan di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, RUU itu juga bakal meningkatkan keberkesanan pentaksiran premium dan levi institusi anggota PIDM, penyelarasan pelaksanaan kuasa serta membetulkan kesilapan tipografi.

“RUU ini turut meningkatkan keberkesanan pentaksiran premium dan levi institusi anggota PIDM selain ia  meningkatkan keberkesanan pentadbiran, penjelasan, penyelarasan pelaksanaan kuasa PIDM serta untuk membetulkan kesilapan tipografi,” katanya pada bacaan kali kedua RUU PIDM (Pindaan) di Dewan Rakyat hari ini.

Yamani Hafez menambah, Fasal 4 hingga 8 merupakan pindaan untuk meningkatkan keberkesanan dan kebertanggungjawaban tadbir urus Lembaga PIDM.

Jelas beliau, ia melibatkan pengarah ex-officio PIDM iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Gabenor Bank Negara Malaysia diberi kuasa untuk melantik pengarah silih ganti (alternate director) untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah sekiranya pengarah ex-officio tidak dapat menghadirkan diri.

Menurutnya, satu peruntukan baharu diperkenalkan untuk memupuk kepelbagaian lembaga (board diversity) dengan tujuan memastikan Lembaga Pengarah PIDM mempunyai wakil
yang seimbang dalam bidang kepakaran dan pengalaman mengikut keperluan semasa, tahap pembangunan dan aspirasi PIDM.

“Selain itu, mandat PIDM juga termasuk mengambil tindakan yang sewajarnya dengan pantas bagi menangani krisis kewangan yang berlaku terhadap institusi anggota PIDM demi memastikan kestabilan sistem kewangan.

“Selaras dengan prinsip teras dan amalan terbaik bagi sistem perlindungan konsumer dan kuasa resolusi yang berkesan, RUU PIDM (Pindaan) 2021 akan memperkasakan kesediaan dan kecekapan PIDM dalam melaksanakan tanggungjawab statutorinya,” katanya.

Yamani Hafez berkata, seksyen baharu 97A di bawah fasal 30 memperuntukkan bahawa PIDM akan merangka, mengkaji semula dan meminda pelan resolusi bagi institusi anggotanya.

Jelas beliau, perancangan resolusi merupakan pra-rancangan yang dibuat awal sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan berlakunya kegagalan institusi anggota.

“Dengan adanya pra-perancangan, ini membolehkan pengendalian kegagalan institusi anggota dilakukan secara lebih teratur tanpa menyebabkan gangguan sistemik kepada sistem kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette