Home Seni Hidup Sambutan pesta cahaya di Johor suram

Sambutan pesta cahaya di Johor suram

Sandran Krishnan

JOHOR BAHRU – Berbaki kurang seminggu lagi sebelum perayaan Deepavali namun sambutan pesta cahaya  pada tahun ini di sini dilihat hambar.

Walaupun Johor telah memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Isnin lalu namun kelibat orang ramai membeli-belah kawasan perniagaan Jalan Ungku Puan di sini tidak meriah.

Seorang peniaga bunga malai, Anthadam Thatasi, 40, memberitahu, setelah dua tahun tidak boleh beroperasi, keadaan di kawasan itu menjadi agak sepi walaupun pada tahun ini mereka sudah dibenarkan beroperasi.

Katanya, jika sebelum ini dia mengimport bunga malai lebih daripada 20 kotak namun kali ini beliau hanya menjual tidak sampai 10 kotak sahaja bagi mengelak kerugian.

“Bunga kekwa pula kami ambil dari Cameron Highlands, lain-lain bunga dari Perak dan Indonesia.

“Jika dahulu, seminggu sekali kami akan ambil bunga  dengan kuantiti banyak tetapi sekarang  lebih 10 kotak pun jarang,” katanya.

Walaupun menyedari sambutan kali ini tidak meriah seperti tahun dahulu, beliau tetap menerima tempahan bunga secara kecil-kecilan.

“Kita peniaga sekarang walau dalam kuantiti kecil kita harus terima dan tidak boleh terlalu berharap jualan seperti dahulu lagi.

“Seperti saya, saya hanya akan sediakan bunga untuk sembahnyang dalam kuantiti kecil bagi elak kerugian,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi peniaga aksesori, Sandran Krishnan, 56, juga mengakui sambutan Deepavali kali ini tidak serancak tahun sebelumnya.

Jika sebelum ini, Little India Johor itu  mula dipenuhi orang ramai, namun setelah hampir seminggu mereka beroperasi, sambutan pengunjung masih tidak memberangsangkan.

“Tapi perayaan kali ini memang boleh bantu, ada pelanggan tapi sikit. Kita pun tidak tahu kenapa selepas setahun Covid pengunjung minta berapa pun kita beri sahaja berapa mereka minta,” katanya.

Bagi pengunjung dari Perak,  T. Anitha, 37, menyifatkan sambutan kali ini tetap ada walaupun dengan sederhana.

Dia bersama dua lagi anak perempuannya mengambil kesempatan kebenaran rentas negeri untuk berkunjung ke rumah adiknya di Nusa Idaman di sini.

“Susahla mahu cakap tetapi memang gembira dapat sambutlah. Saya sambut di rumah adik bersama-sama,” katanya.-MalaysiaGazette