KUANTAN – Seorang warga emas yang ditembak di bahagian dada sempat menghubungi isterinya sebelum maut dalam kejadian di Felda Bukit Sagu 4 dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, isterinya juga sempat menemui mangsa di tempat kejadian yang ketika itu dalam keadaan cedera parah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menurut isterinya, mangsa keluar dari rumah untuk pergi mengait buah kelapa sawit di tempat kejadian pada pukul 10 pagi.
Bagaimanapun pada pukul 3.36 petang, suaminya menghubungi isterinya menyatakan dia telah ditembak di bahagian dada.
“Isteri mangsa bersama rakan baik mangsa telah pergi ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa dalam keadaan cedera parah akibat kesan tembakan namun masih hidup ketika itu.
“Mangsa ditembak di bahagian tengah dada hadapan dan luka di tapak tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya dibawa oleh isterinya dan rakan baik mangsa ke Klinik kesihatan Bukit Goh bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada pukul 4.20 petang.
“Pihak polis juga menemui selaras senapang buatan sendiri di tempat kejadian,” kata Wan Mohd Zahari.
Mayat mangsa berusia 67 tahun itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tujuan bedah siasat.
Kata Wan Mohd Zahari kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca sebenar masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette