PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib yang tiba di SPRM sekitar pukul 9.56 pagi, selesai membuat laporan kira-kira satu jam kemudian.
Menurut Najib, beliau dinasihati untuk membuat laporan berkenaan supaya pihak berkuasa Malaysia dapat menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok.
“Pada awal tahun ini, peguam saya berjaya memenangi kes di Amerika Syarikat untuk mendapat senarai nama dalam pengakuan Tim Leissner yang telah disogok beliau.
“Namun, Kerajaan Amerika Syarikat melalui DOJ telah membantah keputusan Mahkamah Amerika Syarikat dan telah menghalang nama-nama tersebut didedahkan.
“Pada masa itu, seorang peguam dari syarikat guaman terkenal Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa senarai nama tersebut adalah bukti “exculpatory” atau “exculpatory evidence” (bukti dalam perbicaraan jenayah) yang boleh membersihkan nama saya sebagai terlibat dalam penipuan 1MDB,” katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Susulan itu, pada pertengahan tahun ini, barisan guaman beliau pernah meminta mahkamah dan pihak pendakwaan untuk mendedahkan senarai nama tersebut tetapi usaha itu tidak kesampaian.
“Saya amat pelik kenapa Kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Tim Leissner sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta ganti rugi sehingga RM16.4 bilion kepada Kerajaan Malaysia.
“Sebab itu, saya dinasihat dan terpanggil untuk membuat laporan SPRM hari ini terhadap Tim Leissner supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal, membawa balik beliau atau meminta senarai nama dari DOJ agar nama-nama ini didedahkan secara umum dan tindakan yang sewajarnya boleh diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, laporan yang dibuat hari ini adalah penting atas prinsip untuk mendapatkan satu bentuk perbicaraan yang adil.
“This is very crucial evidence (Ini adalah bukti yang sangat penting) sebab itu kalau kita percaya pada rules of law (kedaulatan undang-undang) and fair trial (perbicaraan adil) nama-nama ini perlu didedahkan sebab ia melibatkan bukan sahaja prinsip fair trial tetapi kredibiliti mereka (saksi-saksi) adalah satu perkara utama dalam soal menuntut keadilan.
“Kita juga telah minta melalui mahkamah tetapi telah dihalang oleh DOJ, sebab itu kita minta Peguam Negara melakukan ekstradisi atau pun mendapatkan maklumat-maklumat itu daripada pihak berkenaan di Amerika Syarikat,” ujarnya. – MalaysiaGazette