Friday, November 15, 2024
Home Nasional Pelancong asing dibenar masuk awal Disember ini

Pelancong asing dibenar masuk awal Disember ini

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri
KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan di seluruh negara dijangka boleh dibuka kepada pelancong antarabangsa seawal Disember ini, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, ketika ini, Projek Rintis Pulau Langkawi yang akan bermula 15 November ini dalam pemantauan pihak kementerian.
“Namun begitu, memang kita sudah bersiap sedia dari segi prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun, kita meletakkan tempoh tiga bulan, saya rasa tidaklah sampai tiga bulan. Jadi, saya rasa kita boleh buka (untuk pelancong antarabangsa) lebih awal dari itu.
“Jadi, kita doakan agar ia boleh berlaku dalam masa terdekat lagi selepas 16 November ini dan mungkin awal Disember. Itu bukan janji saya, tetapi kita cuba,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) yang mahu tahu garis masa pembukaan sektor pelancongan di seluruh negara kepada pelancong asing.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 November ini dengan pematuhan SOP.
Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu antaranya pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.
Sebelum itu, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta menteri menyatakan perancangan memperkenalkan gelembung perjalanan ke Sarawak sebagaimana yang telah dimulakan di Langkawi.
Menjawab pertanyaan itu, Nancy berkata MOTAC kini dalam fasa akhir melaksanakan persediaan untuk menyambut kembali ketibaan pelancong asing.
“Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi ini akan menjadi kayu pengukur kepada pembukaan lebih banyak Gelembung Perjalanan Antarabangsa ke destinasi-destinasi lain yang berpotensi berdasarkan penilaian sewajarnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.
Nancy turut memberitahu, sejak projek rintis Langkawi tersebut dilaksanakan, Nancy berkata lebih 100,000 pelawat dari seluruh negara telah mengunjungi pulau lagenda itu dalam tempoh 16 September lalu hingga 15 Oktober lalu.
Jelas beliau, kegiatan pelancongan yang kembali aktif memberi impak positif bukan sahaja kepada entiti perniagaan pelancongan semata-mata.
Malah menurutnya, limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti tersebut serta sektor rantaian juga membawa perkembangan yang baik kepada masyarakat setempat.
“Dalam menjayakan inisiatif projek rintis ini, SOP Gelembung Pelancongan Langkawi telah dibangunkan agar kita dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 di kalangan pelancong dan juga penduduk tempatan Langkawi,” katanya. – MalaysiaGazette