Home Sukan Sabah FC rindu kemenangan – Nazirul

Sabah FC rindu kemenangan – Nazirul

Nazirul Naim (kanan). Foto Facebook Sabah Football Club.

KUALA LUMPUR – Setelah melalui 12 perlawanan tanpa sebarang kemenangan, pemain pertahanan Sabah, Nazirul Naim Che Hashim berharap kemarau itu mampu ditamatkan dalam empat aksi akan datang pada saingan TM Piala Malaysia.

Menurut pemain berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Kangsar, tekanan sentiasa akan hadir dalam tiap perlawanan bagi mereka menuntut kemenangan selepas prestasi yang tidak menentu pada pusingan kedua Liga Super.

Namun dia berharap aura kejohanan TM Piala Malaysia selain dibantu bekas pengendali skuad kebangsaan dan Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee akan memberikan perubahan buat Sabah, bermula dengan aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

“Sekarang ini saya tidak nafikan kami memang terdesak untuk menang dalam tiap perlawanan yang lalui tetapi di saingan Piala Malaysia, suasananya sangat berbeza.

“Saya rasa ini masa terbaik buat pemain membuktikan sesuatu dan ambil cabaran ini demi peminat kerana ramai tahu Sabah sudah lama tidak menang.

“Bertemu JDT, saya tahu sememangnya sukar kerana mereka sebuah pasukan terbaik di Liga Malaysia tetapi kami akan berusaha meraih keputusan positif kerana bakal bermain buat pertama kali di tempat sendiri untuk saingan Piala Malaysia.

“Ditambah kehadiran penyokong, saya berasakan faktor ini akan berikan semangat tambahan buat kami untuk cuba mendapatkan keputusan yang positif, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Kali terakhir Sabah menang ialah pada 5 Mei lalu semasa menewaskan Melaka United, 3-1 di Stadium Likas yang juga satu-satunya kemenangan pada pusingan kedua Liga Super.

Selepas itu, Sabah meraih tiga seri dan tujuh kekalahan sebelum mencatat dua keputusan seri pada dua perlawanan peringkat Kumpulan D semasa bertemu PJ City FC serta Kelantan FC.

Sabah akan melayani kunjungan JDT pada 29 Oktober di Stadium Likas selain satu lagi saingan Kumpulan D membabitkan PJ City FC dan Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, Nazirul mengakui gembira dengan kehadiran Kim Swee kerana mereka pernah bergandingan bersama skuad Harimau Muda selain pasukan Bawah 23 tahun.

Dalam masa sama, dia juga menjelaskan beliau kini diberi peranan baharu dalam pasukan dengan bertindak selaku pemain sayap kiri bertahan selepas Kim Swee menukar taktikal formasi kepada 3-4-3.

“Memang saya sangat selesa dengan Kim Swee kerana pernah ada pengalaman dengannya sebelum ini dan dia seorang yang pandai dalam menilai pemain.

“Memang sangat positif dengan kehadiran beliau, sebab sudah lama saya tidak bekerja dengannya kerana dia sememangnya tahu kemampuan saya.

“Saya rasa ini peluang terbaik buat setiap pemain lain kerana Kim Swee sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan dalam tiap pasukan yang dibimbingnya.

“Sebagai pemain, saya akan sentiasa mengikuti segala arahan yang ditetapkan jurulatih walaupun sememangnya satu cabaran baharu buat saya kerana diberi peranan baharu selaku pemain sayap bertahan.

“Bukan senang juga sebenarnya kerana saya masih memerlukan masa untuk memahami taktikal diterapkan Kim Swee kerana sebelum ini saya banyak bertindak selaku pertahanan kiri, ” katanya. – MalaysiaGazette