Home Nasional Cadangan Lynas bina kemudahan pelupusan kekal diputus bulan depan

Cadangan Lynas bina kemudahan pelupusan kekal diputus bulan depan

Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat keputusan mengenai cadangan Lynas untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Gebeng, Pahang pada bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata, laporan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah diterima pada bulan lalu dan memerlukan dua bulan untuk proses semakan.

“Saya hendak maklum pembinaan di kawasan perindustrian Gebeng dan kawasan itu tidak pernah terlibat dengan banjir besar sejak 2014.

“Tapak cadangan juga telah dinaikkan lima meter dari paras laut dan paras laut di Gebeng juga selamat, jadi pembinaan PDF akan diteruskan.

“RIA dan EIA telah dikemukakan, penilaian sedang dilakukan sekarang dan keputusan akan dibuat pada November sama ada kami akan meluluskan pembinaan PDF atau tidak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (Pakatan Harapan-Kuantan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di hari ini.

Fuziah sebelum itu mempersoalkan rasional memilih tapak tertentu di Gebeng untuk PDF kerana dia berkata kawasan itu mempunyai air bawah tanah yang kurang daripada satu meter dari permukaan, menimbulkan kebimbangan banjir.

Mengulas lanjut, Adham berkata, berdasarkan semakan awal laporan RIA, kawasan di mana tapak pembinaan PDF yang dicadangkan mempunyai risiko banjir yang rendah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tapak cadangan untuk PDF Lynas terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, iaitu 30 meter dari Loji Bahan Termaju Lynas (Lamp).

Laporan EIA yang diterbitkan pada 12 Okt, menyatakan bahawa projek PDF tidak akan menimbulkan risiko banjir atau membawa kepada pencemaran air bawah tanah dan Sungai Baluk – sungai terdekat dengan tapak PDF – melainkan senario terburuk berlaku semasa pembinaan.

Orang ramai boleh melihat laporan EIA sehingga 10 November ini di mana tarikh akhir untuk maklum balas ialah 25 November depan. – MalaysiaGazette