Home Nasional Jenama arak Timah bayang nama wanita Melayu – Rusnah

Jenama arak Timah bayang nama wanita Melayu – Rusnah

The Timah whisky
Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah mengekalkan namanya walaupun dilanda kontroversi sebelum ini.

KUALA LUMPUR –  Penggunaan jenama Timah sebagai jenama minuman arak amat mengelirukan dan boleh dibayangkan seperti “meminum” wanita Melayu.

Itu anggapan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai yang mendakwa nama Timah itu secara tidak langsung membayangkan wanita Melayu.

Menurutnya, nama Timah cukup sinonim dengan panggilan nama seperti Kak Timah, Mak Timah dan Makcik Timah.

“Ia merupakan satu perkara tidak bagus untuk wanita sebab dibayangkan Timah itu wanita Melayu seperti ‘Mak Timah’, ‘Mak Cik Timah’ apabila kita minum wiski itu seolah kita ‘minum’ wanita Melayu,” katanya ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahli Parlimen PKR itu turut mempersoalkan penggunaan lambang Kapten Speedy yang memakai topi seakan-akan kopiah pada arak jenama itu.

Sebelum ini, syarikat pengeluar arak Timah menjelaskan nama jenama itu merujuk kepada logam timah sempena industri perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan supaya label atau nama Timah pada botol arak berkenaan ditukar kepada Kapten Speedy selepas isu jenama arak buatan Malaysia itu tular di media sosial.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (PH) pula berkata, isu arak Timah sengaja dipolitikkan dan disensasikan oleh pihak berkepentingan.

Beliau yakin jika isu itu timbul ketika PH memerintah, parti pembangkang ketika itu akan menimbulkan huru-hara seperti isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Tegas beliau, semasa kerajaan PH memerintah, isu ICERD juga tidak dapat dibahas dan dibincang dengan tenang kerana diberi tafsiran seperti orang Islam diserang bukan Islam.

“Jika isu Timah berlaku ketika zaman PH, mesti ada pihak menuduh DAP mahu serang umat Islam tetapi pembangkang masa ini tidak menjadikan isu Timah untuk tujuan menyerang kerajaan masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette