KUALA LUMPUR – Ada yang kurang berpuas hati dan ada yang memuji.
Itu antara reaksi orang ramai terhadap intipati Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata rakyat menerima dan menyambut baik pembentangan bajet yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera itu namun tidak kurang juga ada yang tidak berpuas hati.
Seorang pekerja swasta, Sahidan Othaman, 39, berkata, langkah kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah tepat pada masanya bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Sahidan, jumlah bantuan yang disalurkan oleh kerajaan itu sudah semestinya dapat membantu banyak keluarga yang memerlukan terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan B40.
“RM2,000 merupakan amaun yang agak besar jadi keluarga yang akan menerima bantuan tersebut harus bijak berbelanja dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, seorang penolong penyelia, Kyla Taufik, 30, berkata, inisiatif kerajaan menyediakan sejumlah RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia untuk memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19 harus diberi pujian.
Ini kerana katanya, masa depan kesemua anak-anak tersebut amat penting dan harus dilindungi berikutan mereka sudah hilang tempat bergantung pada usia yang muda selain menghadapi kesan dari segi emosi.
“Diharap dengan dana yang diumumkan dalam bajet hari ini dapat lah nasib mereka itu dibela dan pendidikan mereka turut terjamin.
“Kita sebagai anggota masyarakat sudah semestinya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa anak-anak tersebut tetapi kerajaan juga harus memainkan peranan penting dalam memberi sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, pengawal keselamatan, Wan Muhammad Hashim, 31, menyatakan rasa kecewanya terhadap pembentangan bajet yang dirasakan kurang memberi penekanan terhadap golongan muda dan bujang.
“Kita boleh tengok di media sosial sekarang rata-rata individu bujang melahirkan rasa tidak puas hati mereka apabila tidak diangkat menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menerima tempias daripada Bajet 2022.
“Bila lihat semula, keluarga yang terkesan akibat Covid-19 ada bahagian mereka termasuk lah warga emas serta kelompok lain tapi bagaimana pula dengan kami orang bujang ini?,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Zaidi Hamid, 30, berharap inisiatif Jamin Kerja yang disebut dalam Belanjawan 2022 dapat direalisasikan dengan baik dan membantu golongan sasar.
“Boleh kata kadar pengangguran agak merisaukan lebih lagi selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
“Sebab itu kita harap inisiatif yang diumumkan dalam bajet hari ini dapat sampai kepada golongan sasar, cari dan beri mereka peluang untuk bekerja,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau Jamin Kerja akan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
Bajet 2022 yang dibentangkan hari ini mendokong tiga paksi utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.
Sebanyak RM332.1 bilion disediakan dalam Bajet 2022, tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. – MalaysiaGazette