Home Belanjawan 2022 Bajet 2022 seperti peluru penabur, bantu kumpulan memerlukan – Pakar ekonomi

Bajet 2022 seperti peluru penabur, bantu kumpulan memerlukan – Pakar ekonomi

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz membuat Pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bajet 2022  disifatkan sebagai bajet peluru penabur yang mensasarkan pelbagai segmen dan kumpulan yang memerlukan.

Pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Barjoyai Bardai berkata, dengan peruntukan sejumlah RM332.1 bilion dan agihan terhadap pelbagai segmen, ia dilihat belanjawan yang sangat komprehensif.

“Secara keseluruhannya kita lihat bahawa belanjawan ini satu lagi catatan rekod baharu berbanding tahun lepas tahun.

“Meliputi semua sasaran, jadi ia dianggap belanjawan peluru penabur banyak peluru ia akan tebar ke seluruh aspek. Insyallah ia akan sampai kepada banyak orang, banyak segmen,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengambil kira kesan Covid-19, Bajet 2022 dilihat mensasarkan secara spesifik terhadap golongan sasaran yang memerlukan dan terjejas akibat pandemik.

Bagaimanapun kata Barjoyai, isunya kelak memastikan tidak ada golongan memerlukan yang akan akan tercicir terutama golongan B40 dan isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,500.

Sehubungan itu katanya, perincian data setiap golongan yang memerlukan perlu lengkap sebelum bantuan diagihkan.

“Pertama, matlamat membantu kumpulan sangat memerlukan yang terkesan pandemik. Dari segi itu skim bantuan Keluarga Malaysia merupakan satu yang sangat dialu-alukan kerana RM2,000 untuk setiap isi rumah yang berpendapatan RM2,500 ke bawah ini memang jumlah minimum kos sara hidup sekarang. Sangat dihargai sebab selalu ia berasas garis kemiskinan lama ini berasas pendapatan isi rumah.

“Kemudian dapat tambahan lagi bantuan untuk ibu tunggal, warga emas semua ini menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh bantu kumpulan memerlukan.

“Isunya nanti adakah lebih kurang 9 juta penerima itu merupakan senarai komprehensif? Ada yang tertinggal tak? Saya rasa ada, sebab kita ada 33 juta penduduk. Sekurangnya ada 15 juta isi rumah, ini perlu dipastikan dan statistik sangat perinci perlu diwujudkan,”jelas beliau.

Dalam masa yang sama, pakar ekonomi itu berpendirian Bajet 2022 penting untuk menjayakan rangsangan ekonomi negara selepas terjejas teruk akibat Covid-19 selama kira dua tahun.

Beliau menjelaskan, usaha mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu peniaga kecil antara yang akan dapat membantu merangsang ekonomi.

“Saya mengharapkan, penyemarakan kemahiran baharu dan peningkatan kemahiran ada diumum usaha untuk mewujudkan 80,000 pekerjaan dan usaha untuk mewujudkan 300 jaminan kerja, ini saya juga alu-alukan,” tambah beliau.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM8.6 bilion berbanding Bajet 2021 iaitu RM322.5 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, sejumlah RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Baki sebanyak RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Daripada segi peruntukan sektoral, sebanyak RM133.2 bilion (40.1%) daripada jumlah keseluruhan Bajet 2022 diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial, diikuti oleh sektor ekonomi (20.3%), keselamatan (10.3%) dan pentadbiran am (4.8%).

Baki berjumlah RM81.3 bilion (24.5%) akan diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Menerusi pembentangan ini juga, kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia salur bantuan RM2,000 kepada isi rumah mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,000.

Selain itu, inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau Jamin Kerja menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion. – MalaysiaGazette