Home Belanjawan 2022 Jaminan kerajaan berjumlah RM300.4 bilion separuh pertama tahun ini

Jaminan kerajaan berjumlah RM300.4 bilion separuh pertama tahun ini

KUALA LUMPUR – Pada akhir Jun 2021, jumlah jaminan kerajaan (GG) terkumpul meningkat perlahan kepada RM300.4 bilion atau 19.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan ini disebabkan terbitan baharu oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi membiayai kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awal dan DanaInfra Nasional Berhad (DanaInfra) untuk meneruskan projek-projek awam.

Lebih separuh iaitu 54.2% daripada GG diberikan kepada pembiayaan berkaitan segmen infrastruktur, diikuti perkhidmatan (26.6%), pegangan pelaburan (8.3%), utiliti (6.8%) dan lain-lain (4.1%).

Laporan Tinjauan Fiskal 2022 berkata, purata tempoh matang berwajaran GG mencatatkan 10.9 tahun pada akhir Jun 2021.

Dari segi profail kematangan, 52.8% dijangka matang dalam tempoh 10 tahun dan 47.2% akan matang melebihi 10 tahun.

Katanya, risiko kadar tukaran mata wang asing adalah rendah memandangkan lebih 90% daripada GG berdenominasi ringgit, selebihnya mata wang renminbi, yen dan dolar Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette