Home Nasional Kerajaan Selangor usaha selesaikan isu peneroka Ladang Tennamaram

Kerajaan Selangor usaha selesaikan isu peneroka Ladang Tennamaram

IMBAS KEMBALI> Antara peneroka yang bersorak sebagai tanda protes di himpunan bantahan peneroka Ladang Tanjung Pasir mengenai isu tanah yang sekian lama diteroka telah diberikan oleh kerajaan Selangor kepada dua syarikat yang berbeza tetapi pemilik yang sama ketika di Kampung Seri Makmur Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Isu pemilikan tanah lebih 400 peneroka Ladang Tennamaram dan Kampung Pasir Mukim Bestari Jaya dekat sini telah mendapat maklum balas Pejabat Menteri Besar (MB) Selangor.

Pemilikan tanah yang sudah mula diteroka oleh kumpulan peneroka sejak 1967 itu kemudian telah diberikan pajakan kepada dua buah syarikat swasta di Sarawak awal tahun lepas.

Dalam satu kenyataan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan sesetengah pihak berkepentingan bagi mencapai situasi menang-menang untuk semua.

“Pada 30 Mei 2021, sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkaitan pajakan tanah di Ldang Tennamaram, Bestari Jaya Kuala Selangor yang telah diberikan kepada dua syarikat, Syarikat Biasan Syria Sdn Bhd dan Syarikat Trillion Project Sdn Bhd.

“Oleh yang demikian beberapa pertimbangan sedang dalam proses perbincangan dengan pihak yang terlibat sebelum keputusan dimuktamadkan bagi mencapai situasi menang-menang kedua-dua pihak.

“Ini akan diputuskan oleh Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat,” katanya.

Kelmarin, lebih 400 peneroka meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah.

Mereka yang menduduki tanah rizab kerajaan negeri Selangor yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang itu sejak tahun 1967.

Mereka mendakwa terkejut selepas mendapat tahu tanah yang telah diusahakan lebih tiga generasi itu akhirnya dipajak kepada orang luar selama 21 tahun oleh kerajaan negeri pada awal 2020.

Lebih membingungkan penduduk sejak seminggu lepas ketika rundingan sedang dijalankan antara pihak berkuasa dengan para peneroka dengan kehadiran ahli politik di lokasi, kerja-kerja untuk projek pertanian dan penternakan dimulakan oleh sebuah syarikat.

Penduduk terbabit khuatir hasil pertanian yang telah diusahakan mereka akan musnah jika syarikat itu memulakan kerja-kerja projek tersebut.

IMBAS. Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berbincang sesuatu bersama Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar ketika hadir ke himpunan bantahan peneroka Ladang Tanjung Pasir mengenai isu tanah yang sekian lama diteroka telah diberikan oleh kerajaan Selangor kepada dua syarikat yang berbeza tetapi pemilik yang sama ketika di Kampung Seri Makmur Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2021.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pernah mempersoalkan bagaimana dua buah syarikat diberikan pajakan tanah selama 21 tahun.

MalaysiaGazette ketika menemui sekumpulan peneroka itu juga turut mendedahkan pihaknya sudah bersedia untuk ke SPRM dan ke SUK untuk menghantar memorandum hari ini sekiranya tidak mendapat maklumbalas. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MB, mengapa pajak tanah Selangor kepada orang Sarawak?

Peneroka Ladang Tanjong Pasir minta MB campur tangan selesai isu pemilikan tanah