KUALA LUMPUR – Gesaan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mencadangkan kerajaan untuk membenarkan pelarian dan pencari suaka bekerja mengisi kekosongan dalam pasaran buruh mendapat pelbagai reaksi.
Ini termasuklah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang merasakan cadangan itu akan menyebabkan masalah lain termasuk isu pelarian kerana pencari suaka akan tinggal lebih masa di Malaysia
Itu antara kebimbangan yang telah diluahkan oleh Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim yang merasakan penempatan semula ke negara ketiga tidak lagi akan diutamakan.
Menurut beliau, walaupun ada dinyatakan hampir sejuta pekerja yang diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan yang tidak diminati oleh warga tempatan namun pihaknya tidak bersetuju.
“MHO berpendapat adalah lebih baik untuk memberikan peluang itu kepada golongan individu tanpa negara atau stateless people yang sudah lama menetap di negara ini untuk pasaran buruh.
“Umum mengetahui warga stateless ini terdiri daripada golongan yang mana ibu dan bapa mereka mempunyai dokumen yang sah untuk menetap di Malaysia dan dilahirkan di Malaysia tetapi tidak dapat mendaftarkan kelahiran tersebut di atas sebab-sebab yang tertentu.
“Ada juga yang ibu bapa mereka dilahirkan di Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan dan seterusnya tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak mereka kerana gagal untuk mendaftarkan status perkahwinan ibu dan bapa anak tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Hishammudin, golongan stateless majoriti daripada mereka tidak pernah meninggalkan negara ini kerana masalah dokumentasi yang timbul.
“Individu-individu stateless ini juga tidak pernah mempunyai apa-apa status kewarganegaraan di mana-mana negara lain tidak seperti pelarian dan pencari suaka,” katanya.
Hishamuddin mengulas kenyataan Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussin Syed Housman baru-baru ini yang mencadangkan pelarian dan pencari suaka dibenarkan bekerja sebagai buruh di negara ini.
Kata Hishamuddin lagi, MHO komited dalam memperjuangkan hak asasi kemanusian secara keseluruhan selama ini dan rata-rata golongan sememangnya telah dinafikan hak asasi sebagai manusia selama ini.
“Masalah timbul kerana golongan ini dinafikan hak kemanusian untuk terus hidup, antaranya mendapatkan pekerjaan, hak kesihatan, pendidikan dan kebajikan-kebajikan lain kerana ketiadaan dokumen kewarganegaraan.
“Lebih menyedihkan lagi apabila golongan ini ada dalam kalangan mereka yang bekerja sambilan tetapi tidak dibayar gaji oleh majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru itu, di atas nama kemanusiaan, MHO sekali merayu kepada kerajaan untuk membenarkan Individu-individu ini bekerja bagi mengisi kekosongan sedia ada pasaran buruh.
“Tidak timbul isu tinggal lebih masa dan atau ketidakutamaan untuk penempatan semula ke Negara ketiga kerana golongan stateless sebenarnya telah lama menetap di Malaysia ini.
“Ada di kalangan mereka yang telah bergenerasi lamanya menetap di Malaysia,” ujarnya.
Jelas Hishamuddin, penyertaan Malaysia Ahli Majlis Hak Asasi Manusia yang selama ini lantang menyuarakan berkenaan hak-hak asasi manusia bagi rakyat di Gaza, Palestin dan juga masyarakat Rohinga di Myanmar wajar diterjemahkan sewajarnya.
“Antaranya dengan juga membincangkan isu-isu stateless ini di negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette