PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini telah membenarkan permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menjadi ‘sahabat mahkamah’ dalam perbicaraan rayuan melibatkan kes tunggakan cukai pendapatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Selain Najib, anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin juga telah memohon kebenaran rayuan kes tunggakan cukai di Mahkamah Persekutuan.
Menurut peguam yang mewakili kedua-duanya, Wee Yong Kang, dalam prosiding hari ini, mahkamah telah membenarkan permohonan Badan Peguam untuk menjadi amicus curiae dalam kes berkenaan.
Menurutnya, Timbalan Pendaftar, Rasidah Roslee telah menetapkan 16 Februari tahun depan bagi pendengaran pemohonan rayuan oleh kedua-dua pemohon ketika prosiding atas talian hari ini.
Sebelum ini, Badan Peguam memohon untuk mengikuti prosiding rayuan substantif jika Najib dan anaknya dibenarkan merangkap keputusan Mahkamah Rayuan.
Badan itu telah memohon mengikuti prosiding itu kerana permohonan Najib dan anaknya telah menimbulkan soalan perundangan dan Perlembagaan yang unik dan penting serta berkepentingan awam memandangkan pihak itu telah mencabar kesahan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Najib dan Mohd Nazifuddin telah memfailkan notis usul bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai berkenaan.
Pada 9 September lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan penghakiman terus tuntutan tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar.
Selain itu kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran daripada 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. -MalaysiaGazette