Home Nasional Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemui tepi Jalan Sungai Tua

Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemui tepi Jalan Sungai Tua

Mayat seorang lelaki tanpa identiti disyaki dibunuh ditemui di tepi jalan di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam pagi ini.Gambar Ihsan IPD Gombak

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki tanpa identiti yang disyaki dibunuh ditemui di tepi Jalan Sungai Tua – Ulu Yam di Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya masih belum mengetahui sama ada mangsa dibunuh di kawasan lain atau pun sebaliknya tetapi siasatan masih berjalan.

“”Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainal, polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa terbabit pada pukul 8.30 pagi tadi.

Sejurus menerima panggilan awam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah bergegas ke lokasi kejadian bagi tindakan lanjut.

“Polis mendapati mayat berkenaan ditemui di tepi jalan oleh awam dan setakat ini identiti mayat berkenaan masih belum dapat dikenalpasti,” katanya.

Tambah Zainal, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai dibunuh.

Bagaimanapun katanya, polis masih meneruskan siasatan dan pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh tampil segera menyalurkannya ke mana-mana balai polis berdekatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette