JOHOR BAHRU – Para peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil peluang yang diberikan kerajaan yang memberi diskaun bayaran balik pinjaman, seperti diumumkan dalam Bajet 2022 hari ini.
Bagi graduan Diploma Teknologi Media (Kewartawanan) di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Raden Mohammad Azwan, 29, berkata, beliau sememangnya berhasrat membayar pinjaman yang dilakukannya itu.
Namun menurutnya, jada dalam kalangan peminjam terpaksa menangguh pembayaran ekoran keadaan semasa yang tidak baik dan pengumuman itu sudah pasti memberi kelegaan kepada peminjam.
“Saya selaku peminjam PTPTN akan menggunakan peluang sebaik ini untuk membayar baki pinjaman saya.
“Saya yakin dengan keadaan semasa ada peminjam PTPTN yang terjejas dengan Covid-19 ini akan berusaha menggunakan peluang ini untuk membayar semula baki pinjaman mereka.
“Secara jujurnya saya berpuas hati dengan apa yang kerajaan lakukan kepada peminjam PTPTN seperti saya,” katanya.
Pelajar jurusan Komunikasi dan Pengajian Media di universiti tempatan, Ahmad Farhin Hisham, 35, berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada graduan yang baru memasuki alam pekerjaan dan mereka yang hilang pekerjaan akibat Covid-19.
Tambah beliau, ia membantu graduan merangka perbelanjaan bulanan yang lebih efisien, sistematik dan teratur kerana ada dalam kalanga mereka yang mempunyai komitmen tinggi seperti ansuran bulanan kereta dan rumah.
“Menerusi bajet 2022 ini, saya boleh menyusun perbelanjaan lebih baik berdasarkan gaji yang diterima setiap bulan,” katanya.
Jelas Farhin, pembayaran 15 peratus atau 50 peratus yang diumum itu merupakan usaha yang tepat kerana ia dapat meringankan beban kewangan graduan.
Ini secara tidak langsung, peminjam PTPTN menjadi lebih komited untuk melunaskan baki pinjaman yang tertunggak, ujarnya.
“Banyak sudut positif yang boleh diambil kira menerusi inisiatif ini kerana kerajaan secara tidak langsung melihat bebanan ditanggung graduan yang memang terkesan sepanjang Covid-19.
“Ia juga dapat memulakan langkah baharu para graduan untuk kembali meneruskan kelangsungan kehidupan berdasarkan gaji yang diterima setiap bulan,” jelasnya. – MalaysiaGazette