KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM80 juta menerusi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu sehingga usia 55 tahun.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program itu dilaksanakan melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Tahun ini kerajaan meluaskan liputan perlindungan sosial negara bawah PERKESO untuk turut mencarum bagi pekerja sendiri dan sektor informal.
“Bagi tahun depan, inisiatif ini diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus dan meluaskan manfaatnya kepada sembilan kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti.
“Inisiatif ini dijangka memanfaatkan lebih 810,000 pekerja sendiri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette